...Dan Sebenarnya

PERKAHWINAN. Allah SWT mensyariatkan perkahwinan kepada manusia selaras dengan kehendak fitrah manusia yang ingin hidup berpasangan. Bagi setiap pasangan yang berkasih, perkahwinan adalah kemuncak kepada bukti kasih sayang mereka. Secara peribadi saya mempunyai persepsi tersendiri setiapkali mendapat undangan walimatul urus. Bukan bersikap sinikal sementelah diri sendiri pernah melalui fasa perkahwinan yang mengecewakan tetapi lebih kepada kesedaran dalaman yang wujud dalam diri bahawa NAWAITU mendirikan rumahtangga kerana Allah SWT seharusnya menjadi tunggak utama apabila keputusan tersebut diambil.  


Rasulallah SAW dalam hadisnya berkata, kahwinilah wanita itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang beragama, nescaya engkau akan selamat. 

Seharusnya kita sedar bahawa ayat ini secara terang-terangan membimbing umat islam agar meletakkan agama sebagai perkara utama dalam kehidupan. Seharusnya cebisan hadis ini dijadikan sebagai panduan kepada setiap pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga kerana  saya sendiri berpendapat, seandainya agama dijadikan sebagai pegangan...insyaallah ini bermakna  kita meletakkan Allah SWT ditempat yang teratas melebihi segala-galanya.  Secara tidak langsung, memilih agama adalah seumpama kita memilih Allah SWT dalam mencari keberkatan hidup. Falsafah Barat pula ada mengatakan perkahwinan ibarat satu perjudian dan saya sendiri mengakui bahawa ada kebenarannya disebalik falsafah ini. Silap membuat percaturan...silap memilih petak yang diperjudikan...maka hanguslah semua wang taruhan. Seperti juga perkahwinan, tersilap memilih bakal suami atau isteri yang hanya mempunyai rupa paras yang cantik tetapi tidak seiring dengan budi pekerti yang mulia...tersilap memilih bakal suami atau isteri yang berharta tetapi hakikatnya suka menindas golongan yang lemah...maka kehancuran bakal menemui kita dipenghujung jalan nanti. Malah saya sendiri pernah memperjudikan hidup saya dengan meletakkan taraf pendidikan yang tinggi sebagai pilihan utama dalam memilih pasangan hidup. Gerak hati saya kuat mengatakan, biarlah pasangan saya bukan dari golongan yang berharta...tetapi saya yakin dengan adanya pelajaran yang tinggi, kami mampu mengumpul harta sedikit demi sedikit dikemudian hari. Tidak sedetik pun dihati saya meletakkan agama sebagai pertimbangan asas dalam memilih pasangan hidup. Begitu tinggi keyakinan diri saya hingga saya lupa bahawa percaturan Allah SWT melebihi segala-galanya. Subhanallah. Nauzubillah. Hakikatnya, percintaan tidaklah semanis yang dirasakan jika dibandingkan dengan realiti yang bakal ditempuhi di alam perkahwinan. Alangkah bertuahnya diri seandainya pasangan anda seorang yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masa depan dan agama tetapi bagaimana pula kalau sebaliknya. Tepuk dada...pujuk hati...istikharah...dan bertanyalah kepada Allah SWT...adakah jalan yang anda pilih itu adalah yang terbaik untuk diri, masa depan dan agama. Oleh sebab itu, jangan sesekali meletakkan harapan yang tinggi menggunung terhadap pasangan, bimbang nanti menjeruk hati. Sebaliknya sandarkanlah kepercayaan dan harapan kepada Allah SWT  semoga perkahwinan yang dibina mendapat keberkatan dan berkekalan hingga ke akhirnya. Walaubagaimanapun, bersyukurlah kepada Allah SWT sekiranya anda dipertemukan dengan pasangan yang mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang sahabat, suami dan bapa yang baik mengikut lunas-lunas Islam...insya Allah. Kini saya percaya bahawa keputusan untuk membina satu ikatan yang teguh, pasangan seharusnya jujur dan ikhlas dengan NAWAITU untuk mendirikan rumahtangga dan seharusnya agama menjadi pilihan utama...insyaAllah semoga perkahwinan yang bakal dibina mendapat keberkatan dariNya.


Di antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia ciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang (Ar-Rum, 21). 



...terima kasih Allah atas peluang yang telah Engkau berikan
...terima kasih atas segala-galanya

p/s: khas buat sissy tersayang...Azrin Nozmi
      Selamat menempuhi alam rumahtangga tak lama je lagi...

Comments

Popular posts from this blog

Ovum Pick Up (OPU)

Embrio Transfer (ET)

My Journey to Baby Dust