Tsunami di hati...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Tiada yang lebih menggembirakan diri saya saat mengetahui bahawa diri ini hamil. Jujur saya akui kehamilan yang tidak diduga ini memberikan saya sejuta harapan yang baru bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang dan sentiasa mendengar doa-doa dari hambaNya. Setiap hari saya titipkan doa agar saya diberikan kesihatan yang baik, kesabaran yang tinggi dan ketenangan sepanjang melalui saat-saat mengandung. Saya juga sentiasa berdoa semoga bayi yang saya kandungkan sentiasa sihat, membesar dengan sempurna sifatnya dan bakal menjadi seorang anak yang soleh mahupun solehah. Kedengaran seperti klise tapi saya yakin setiap ibu di dunia ini sentiasa mendoakan kebaikan saat mengetahui adanya insan kecil yang bernyawa dan semakin membesar di dalam rahim mereka. Setiap hari merupakan satu hari yang baru bagi saya. Setiap minggu pula saya lalui dengan penuh keterujaan. Walaupun tidak mengalami alahan…saya mengalami symptom-simptom yang biasa dialami oleh kebanyakan ibu mengandung. Antaranya saya suka mengunyah sepanjang masa, selera makan yang semakin tinggi sehingga berat badan mula naik, mulai tidak gemar kepada benda masam sedangkan sebelum ini saya adalah penggemar buah-buahan jeruk, sakit-sakit pinggang dan kerap mengalami kejang pada bahagian kaki. Namun begitu, keterujaan yang saya kecapi ini rupanya bersifat sementara. Pemeriksaan berkala yang perlu saya hadiri di Hospital Umra mendapati bahawa bayi saya tidak mempunyai denyut jantung walaupun usia kandungan sudah memasuki minggu ke-10. Doktor mengandaikan bahawa saya bakal melalui fasa kandungan Miss-Abortion. Allah SWT saja yang tahu perasaan saya pada masa itu. Perasaan keliru, sedih dan redha bercampur-baur. Tidak mengalami sakit-sakit atau tanda-tanda keguguran…saya cuba ketepikan segala resah dihati. Doa saya tak pernah putus kepadaNya. Suami sahaja yang mampu menjadi kekuatan saya pada masa ini. Saya tetapkan dalam hati seandainya belum tertulis rezeki saya untuk memiliki zuriat sendiri…maka saya redha dengan ketentuanNya. Sekurang-kurangnya saya masih diberi peluang. Alhamdulillah.

“Andai Allah segera memakbulkan doaku…maka Allah menyayangiku. Andai Allah lambat memakbulkan doaku…maka Allah ingin mengujiku. Andai Alllah tidak memakbulkan doaku…maka Allah merancang sesuatu yang lebih baik buatku. Aku akan sentiasa berbaik sangka kepa Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana kasih sayangNya mendahului kemurkaanNya. Alhamdulillah.”

Benarlah syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Sakit melahirkan seorang anak ibarat meletakkan nyawa dihujung tanduk…antara hidup dan mati. Seorang kawan saya yang pernah melalui pengalaman melahirkan anak secara normal dan juga keguguran memberitahu saya bahawa kesakitan akibat keguguran adalah sama seperti sakit ingin melahirkan seorang anak. Kontraksi yang berpanjangan sehingga tak mampu untuk melelapkan mata, berjalan mundar-mandir dengan harapan dapat mengurangkan kesakitan, airmata yang menitis akibat kesakitan yang melampau antara pengalaman yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup saya. Kesakitan yang sama. Perbezaannya cuma sakit keguguran mengundang kesedihan dan tekanan emosi kepada ibu kerana mengetahui bayi yang dikandungnya tidak akan hidup. Nauzibillah. Semoga Allah SWT mengasihi saya dan suami. Percaya atau tidak…sepanjang melalui kesakitan yang melampau, saya sentiasa mengamalkan zikir yang diajar oleh Ila (kakak ipar) dan Alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan olehNya. Walaupun hati ini sayu saat menatap benih cinta kami yang baru nak bercambah ada di depan mata…saya redha. Sesungguhnya, kematian itu menginsafkan saya dan kesakitan itu semoga dapat menyucikan dosa-dosa saya. Saya percaya kepada Qada’ dan QadarNya. Saya juga percaya Allah SWT tidak akan menganiaya hambaNya. InsyaAllah.

“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali. Ya Allah. Berikanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya”

**11 September 2012 (Selasa) - PPUM/Doktor Dayang
   

Comments

Popular posts from this blog

Ovum Pick Up (OPU)

Embrio Transfer (ET)

My Journey to Baby Dust