Sukarkah Mencipta Bahagia?


      Perkahwinan setelah dijalani selama beberapa tahun, pasti irama dan lagunya tidak serancak waktu alam percintaan yang dulu segala-galanya indah dan mengkhayalkan. ketika bercinta, lautan api sanggup direnangi, lurah dan belukar sedia dituruni. itu keajaiban cinta. Keajaiban yang sama seperti anak kecil melihat pelangi. Cantik dan menakjubkan. 
         Apabila dua manusia berlawanan jantina membayangkan sesebuah keindahan cinta ketika itu, kita sedia maklum mereka tidak akan membayangkan sekali kesulitan disebalik keseronokan tersebut. Kerana mereka belum tinggal bersama. Mereka belum berkongsi tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Mereka juga belum merasai pancaroba kehidupan berumahtangga. Yang mereka kongsikan bersama hanyalah perasaan yang indah-indah belaka. Namun apabila sudah sah hidup bersama, bergelumang dengan rencah kehidupan rutin suami isteri, saat manis itu akan mula memudar seiringan dengan perjalanan waktu. Lebih sedih lagi, ada pasangan suami isteri yang sentiasa dilanda masalah kerana mereka terikat oleh gaya hidup waktu bercinta. Kuat merajuk, sentiasa inginkan perhatian dan mahu menang sendiri adalah anatara masalah yang kerap melanda pasangan suami dan isteri di fasa pertama perkahwinan mereka. 
     Jika masing-masing membesarkan ego dan sukar mengalah, harga yang terpaksa dipertaruhkan adalah rumahtangga itu sendiri. Keadaan akan semakin sulit jika campur tangan orang ketiga (keluarga @ kekasih gelap) mencelah disebalik bilah-bilah kemelut tersebut. Jangan gadaikan rumahtangga hanya kerana masalah yang boleh diselesaikan dengan budi bicara. Jangan juga mudah menyerah dan mengucapkan salam perpisahan sekiranya jalan keluar masih terbuka luas. Sayangi dan hargailah kasih sayang yang sudah bertahun-tahun kita semai bersama. Ubah pendirian hidup dan pandang masa hadapan dengan pandangan yang lebih realistik. Jika musim manis masa bercinta boleh dijadikan kayu pengukur untuk kasih sayang itu, pupuklah ia dalam dunia nyata. Kenang kembali kenapa anda jatuh cinta kepadanya dan lihatlah nilai-nilai positif dan kebaikan yang dimilikinya. 
    Kalau waktu bercinta dulu, kita tidak terganggu oleh beberapa kelemahan atau keburukannya, kenapa sekarang setelah 'kau sah menjadi milikku', kita hanya nampak keburukannya sahaja. Apakah semua kebaikannya sudah lenyap?. Tanyalah pada diri kita sendiri, adakah dulu kita benar-benar ikhlas menyintainya. Jika ya, buktikanlah keikhlasan itu dan kembalilah membina bahagia. Bahagia itu bukan datang sendiri tetapi ia perlu dicipta. Sukarkan mencipta bahagia?. Hanya kita yang boleh menjawabnya...

...dipetik dari Majalah WANITA

SHARING IS CARING
GENTLE REMINDER FOR ME & MY SIBLING

Comments

Popular posts from this blog

Ovum Pick Up (OPU)

Embrio Transfer (ET)

My Journey to Baby Dust