Selamat datang 2012...

Alhamdulillah...permulaan tahun 2012 sangat-sangat bermakna untuk diri saya. Melangkah masuk ke tarikh 1 Januari 2012, saya membuka lembaran baru dalam diari kehidupan saya dengan azam dan semangat yang baru. Walaupun masih ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan...Alhamdulillah kini saya berada dilandasan yang betul. Betul seperti apa yang dikatakan...rezeki Allah ada di mana-mana. Tak perlu takut seandainya kita kehilangan sesuatu yang pernah kita miliki dahulu kerana mungkin Allah ingin memberikan kita sesuatu yang lebih besar dikemudian hari. Segala-galanyanya berlaku atas kehendakNya. Kita sebagai manusia biasa yang cetek ilmu pengetahuannya hanya perlu belajar untuk memuhasabah diri sendiri dan terus belajar untuk menjadi seorang yang berjiwa positif. Doa saya semoga Allah permudahkan segala urusan dunia saya...hidup kami sentiasa dalam belas dan keredhaanNya...dan semoga kasih sayang antara kami terus subur hingga ke akhir hayat. 



Walaubagaimanapun, kegembiraan yang masih berbunga di hati saya agak tercalar kerana pada Jumaat 20 Januari 2012...seorang sahabat yang lebih saya anggap sebagai seorang adik kerana kemanjaannya telah pergi selama-lamanya mengadap Illahi. Mohd Khairil Izwan bin Pilus atau lebih dikenali sebagai Izwan Pilus telah kembali ke rahmatullah di Hospital Ampang pada jam 6.15 petang akibat penyakit jangkitan kencing tikus dan juga jangkitan dalam darah. Hari ni (31/1/12) genaplah 11 hari arwah telah pergi meninggalkan dunia ini. Saya mendoakan semoga arwah ditempatkan dikalangan hamba-hamba Allah yang disayangi. Sayu rasa hati ni setiapkali saya terbaca akan artikel mengenai arwah di dada akhbar. Teringat kembali bagaimana terkejutnya kami semua semasa mendapat perkhabaran tentang pemergian arwah pada petang 20 Januari lepas. Kebetulan pada masa itu, saya bersama Ain, Pit dan Shida dalam perjalanan pulang ke pejabat dari Petaling Jaya. Jalanraya pulak penuh sesak dengan kenderaan kerana orang ramai berpusu-pusu ingin pulang ke kampung halaman mengambil kesempatan bercuti sempena Hari Raya Cina. Twitter yang Ain dapat mengatakan Izwan Pilus telah tiada betul-betul membuatkan jantung saya bagaikan terhenti. Bagi mengesahkan berita tersebut, saya terus mendapatkan manager Izwan. Ternyata berita tentang kematiannya bukanlah satu gurauan. Dalam kereta Ain dah mula menangis-nangis...saya pulak cuma mampu terdiam sahaja. Walaupun hujan lebat dan jalan sangat sesak, kami (saya, Ain & Kak Nash) sepakat untuk bergegas ke Hospital Ampang bagi memberikan penghormatan terakhir buat jenazah. Alhamdulillah lebih kurang jam 8.30 malam kami selamat tiba di Hospital Ampang. Saya lihat orang ramai telah mula berkerumun diluar bilik jenazah untuk melihat arwah buat kali yang terakhir. (Iwan...ramai orang sayangkan Iwan rupanya). Kehadiran kami disambut dengan dakapan dan linangan airmata oleh beberapa rakan artis seperti Nurulhuda Wahab, Farawahida, Farhan, Kenchana Dewi, Bob dan Shuib. Malah saya sendiri tak mampu nak menahan airmata saat saya melihat wajah arwah buat kali terakhir. Agak ralat juga sebab kami tidak tahu menahu langsung tentang kesihatannya yang agak merosot sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Terus terbayang di mata saya senyuman dan keramahan Izwan semasa hayat beliau. Rasanya seperti baru semalam kami bekerjasama menjayakan rancangan Muzika Ekstravaganza. Tiada lagi gurauannya untuk saya setiap kali arwah bertandang ke pejabat kami di Unit Hiburan TV, RTM. "Kak Tasha ni bila lagi nak bagi saya tengok baby akak!!". Itulah ayat yang sering diajukan kepada saya tiap kali kami berjumpa....dan ianya akan terus kekal menjadi antara memori indah saya dengan insan bernama Izwan Pilus. Mengenangkan kembali perkenalan kami bersama arwah...bakat Izwan Pilus mula dicungkil  menerusi pertandingan Bintang RTM 2004. Walaupun tidak berjaya bergelar juara, arwah merupakan seorang finalis yang sangat berbakat dalam bidang nyanyian dan juga pengacaraan. Malah, secara peribadi beliau merupakan finalis kegemaran saya ketika beliau masih bergelar seorang peserta. Malah tidak keterlaluan sekiranya arwah digelar sebagai 'Resident Artis RTM' sebab kami sentiasa memberi peluang kepada beliau setiapkali ada show. Antara rancangan yang paling meninggalkan kesan kepada saya hingga kini adalah LODEH, sebuah rancangan muzikal raya arahan Azwan Ali. Selama beberapa hari kami berkampong di Filem Negara...Izwan antara artis yang paling komited dan tidak banyak ragam...malah menyenangkan lagi kerja saya. Suruhlah dia nyanyi lagu apapun...semuanya dia lakukan. Malah, pernah jugak satu ketika dulu saya berperang mulut dengan managernya gara-gara perasaan tidak berpuashati lagu Indah Lelapku terkeluar dari carta Hits 1. Mungkin kerana sedar yang hubungan antara kami agak baik, Izwan sendiri datang memohon maaf kepada saya bagi pihak managernya. Itulah antara perangai Izwan Pilus yang saya kenali. Sudah tertulis di atas sana bawah Allah SWT lebih menyayangi beliau. Kita yang masih hidup ini perlu belajar untuk menginsafi setiap kematian yang berlaku. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang tapi manusia mati meninggalkan nama. Insyaallah selagi hayat dikandung badan...akak akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Iwan di sana. Semoga Allah senantiasa mencucuri rahmat buatmu. Al-Fatihah. 


Izwan Pilus...dalam kenangan

Comments

Popular posts from this blog

Ovum Pick Up (OPU)

Embrio Transfer (ET)

My Journey to Baby Dust