Salam Aidiladha 2011

Tengku Khalidah Tengku Bidin wrote: Hari Sabtu ini, 5 November 2011 adalah waktu Wukuf di Arafah. Bagi kita di Malaysia, ia bersamaan dengan masa dari jam 5 petang hingga 10.39 malam. Wukuf adalah waktu bilamana ketujuh-tujuh syurga dibuka... bilamana tiada 'hijab' di antara Allah SWT dan hamba-NYA. Waktu paling afdal dalam setahun untuk berdoa dan bersembahyang. Marilah kita manfaatkan waktu beberapa jam ini untuk menadah tangan memohon keampunan dan meminta hanya padanya yang SATU. Alhamdulillah...


Hari Ahad, 6 November 2011 - Aidiladha membawa maksud pengorbanan. Mungkin dari pandangan umum masayarakat islam di Malaysia, Aidiladha agak sinonim dengan ibadah korban di mana, rata-rata kita dapat melihat upacara penyembelihan lembu atau kambing dilakukan sebagai melengkapi penghayatan dalam ibadah ini. Walaupun sambutan Aidiladha mungkin tidak semeriah sambutan Aidilfitri, namum kemeriahannya tetap terasa terutama sekali bagi jemaah yang telah selamat pulang ke tanah air setelah menunaikan rukun islam kelima di Mekah Al Mukarramah. Hakikatnya, pengertian Aidiladha bukan sekadar ibadah korban mahupun haji, malah penghayatannya menuntut kita semua untuk memahami erti pengorbanan yang sebenar dalam kehidupan. Mengambil iktibar dari pengorbanan Nabi Ismail terhadap Nabi Ibrahim a.s agar dijadikan korban demi menunaikan perintah Allah, mengajar kita akan erti pengorbanan kasih seorang anak kepada keluarganya. Realitinya, mana mungkin anak-anak di zaman sekarang sanggup berkorban hingga ke tahap itu tetapi secara peribadi, saya percaya sekiranya kita tidak mampu membahagiakan mereka dalam mencari keredhaan Allah, cukuplah seandainya kita dapat mengelak dari terus menyusahkan mereka di dunia ini dengan seribu satu masalah yang datangnya dari diri kita sendiri. Hanya doa yang tak pernah putus untuk kebahagiaan ayah dan mak sahaja yang mampu membuatkan saya terus merasa tenang. Aidiladha juga menuntut kita untuk menghayati pengorbanan di antara pasangan suami dan isteri, dengan mengambil iktibar dari pengorbanan Siti Hajar terhadap Nabi Ibrahim a.s. Sewajarnya, dalam melayari bahtera rumahtangga, pasangan seharusnya saling melengkapi dan saling mengasihi di antara satu sama lain dalam mencari keberkatan Allah. Sekiranya tiada tolak ansur, pasangan akan merasakan diri mereka tidak dihargai hingga akhirnya menjerus ke arah keretakan rumahtangga seandainya dibiarkan berterusan. Justeru, dalam menghayati makna sebuah pengorbanan menerusi Aidiladha, saya akan terus mengingatkan diri sendiri agar sentiasa menghargai pengorbanan dan kasih sayang dalam hubungan ibubapa dan anak serta menghayati pengorbanan dan kasih suci ikatan diantara suami dan isteri. Semoga kita semua sama-sama mendapat keberkatan dariNya. Alhamdulillah.


Salam Aidiladha 2011



Comments

Popular posts from this blog

Ovum Pick Up (OPU)

Embrio Transfer (ET)

My Journey to Baby Dust